Varieti[1] Padi

Terdapat dua jenis padi iaitu padi tradisional (>140 hari peringkat matang) dan padi varieti baru (<135 hari peringkat matang). Pada tahun 1972-1998 terdapat 25 varieti padi baharu yang telah diperkenalkan untuk penanaman dua kali setahun di Malaysia. Padi varieti baharu mempunyai potensi penghasilan yang tinggi tetapi bermasalah daripada segi mutu dan kurang ketahanan terhadap perosak dan penyakit manakala varieti padi tradisional pula amat peka terhadap fotokala, bertempoh matang panjang, pokok tinggi serta mudah rebah dan kurang gerakbalas terhadap baja. Walau bagaimanapun, varieti ini mempunyai keistimewaan dari segi cita rasanya yang sedap.

Ciri-ciri utama varieti padi yang disyorkan pada masa kini ialah MR 84, MR 167, MR 185, MR 159 dan lain-lain varieti yang telah diisytiharkan serta masih ditanam. Varieti-varieti yang sesuai mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Tahan penyakit karah
  • Tahan gangguan di peringkat anak semai
  • Sederhana tinggi dan pokok tumbuh tegak
  • Tidak mudah rebah
  • Masak serentak
  • Tidak mudah relai supaya sesuai untuk penuaian menggunakan jentera.

Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi. Disyorkan menggunakan biji benih berkualiti dalam kategori biji benih padi sah kerana telah menepati Malaysian Standard MS 469-1993.[1]